
Sepang: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), syarikat di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), terus komited membantu usahawan tempatan apabila sudah menyalurkan sebanyak 5,957 bilangan pembiayaan di Daerah Sepang dengan nilai keseluruhan RM65.1 juta sepanjang 10 tahun penubuhannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mearia Hamzah berkata, pihaknya memperluaskan golongan kelas menengah melalui sistem penyaluran modal tambahan yang efisien kepada peniaga kecil.
Katanya, Hijrah Selangor turut menganjurkan sambutan ulang tahun ke-10 dengan kerjasama Platform Selangor (PLATS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, Selangor, baru-baru ini.
"Program bertemakan 10 Tahun Kecemerlangan: Memperkasa Usahawan ini adalah siri pertama daripada 10 kempen yang akan dianjurkan sepanjang tahun ini.
"Malah, sepanjang 10 tahun penubuhan, Hijrah Selangor sudah menyalurkan 5,957 pembiayaan di Daerah Sepang dengan nilai keseluruhan RM65.1 juta," katanya dalam kenyataan.
Sempena sambutan ulang tahun ke-10, 10 usahawan diraikan pada acara ini mewakili usahawan Hijrah Selangor di Daerah Sepang yang terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan, termasuk makanan dan minuman, pembuatan serta perkhidmatan.
Mearia berkata, lebih membanggakan, ada antara usahawan ini yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, dan sebagai sebahagian daripada acara, mereka menerima cenderahati sebagai penghargaan atas kejayaan yang sudah dipacu dengan bantuan pembiayaan perniagaan daripada Hijrah Selangor.
Beliau berkata, kisah kejayaan usahawan ini membuktikan peranan utama Hijrah Selangor dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk setempat, selaras dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Sejak penubuhannya pada 2015, Hijrah Selangor sudah menyalurkan 91,526 bilangan pembiayaan kepada usahawan di seluruh Selangor, dengan nilai keseluruhan RM858 juta pembiayaan yang memberi impak besar kepada usahawan untuk memperbaiki perniagaan dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi. - Harian Metro