
SHAH ALAM, 24 APRIL: Hampir RM1 bilion pembiayaan disalurkan kepada 61,000 usahawan di Selangor menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) sejak 2015 hingga Mac lalu.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata daripada jumlah itu, RM125 juta disalurkan kepada usahawan di Shah Alam dan Petaling Jaya untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Sejak penubuhan Hijrah Selangor, sejumlah 92,000 pembiayaan disalurkan bagi membantu 61,000 usahawan dengan jumlah pembiayaan lebih RM860 juta, hampir mencecah RM1 bilion.
“Hijrah Selangor kekal komited terus memperkasa golongan kelas menengah melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk pembiayaan, bimbingan dan pengiktirafan bagi menjamin pembangunan ekonomi berterusan,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis Aidilfitri bersama usahawan Hijrah Selangor yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Datuk Saipolyazan M Yusop.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan menasihatkan usahawan yang menerima pembiayaan daripada Hijrah Selangor untuk tertib membuat pembayaran semula mengikut jadual ditetapkan.
“Kadar pembayaran semula sejak tahun lalu menunjukkan peningkatan 97 peratus berbanding sebelum ini. Usahawan perlu ingat Hijrah Selangor bukan ah long dan tidak akan kejar mereka sebaliknya memberi ruang buat penjadualan semula.
“Kita beri ruang fleksibel dan bantu mereka merancang buat aluran tunai. Namun, sekiranya mereka tegar tidak mahu membayar walaupun dipanggil dan jadual pembayaran disusun semula, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya. - Selangorkini