Pengenalan
Hijrah Selangor merupakan instrumen strategik Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas golongan kelas menengah dengan memperkukuh ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro. Bernaung di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Hijrah Selangor kini berperanan sebagai pemacu utama ekosistem keusahawanan digital yang inklusif, mampan dan berdaya saing.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Hijrah Selangor juga berfungsi sebagai platform pembangunan kapasiti usahawan yang mendokong agenda ekonomi MADANI dengan menjana peluang ekonomi baharu, mengurangkan jurang pendapatan dan membantu meningkatkan taraf hidup.
Sejak 2015, lebih RM880 juta pembiayaan telah disalurkan melibatkan 92,000 pinjaman kepada lebih 61,000 usahawan. Menjelang 2028, Hijrah Selangor mensasarkan pembiayaan terkumpul berjumlah RM1.1 bilion dan akses pembiayaan digital kepada lebih 260,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) di negeri Selangor, dengan fokus kepada sektor ekonomi berimpak tinggi iaitu sektor digital, agriteknologi, pelancongan dan industri Halal.
Wadah Aspirasi Ketua Pegawai Eksekutif

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita telah melepasi separuh tahun pertama 2025 dengan penuh semangat dan arah tuju yang jelas. Fasa ini memperlihatkan daya tahan Hijrah Selangor dalam terus berinovasi, mencipta impak, dan menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negeri Selangor.
Tahun ini amat istimewa kerana kita meraikan 10 Tahun Kecemerlangan Hijrah Selangor memperkasa usahawan, merentasi pelbagai industri dan latar belakang. Ini adalah cerminan kepada keberkesanan model pembiayaan mikro Hijrah Selangor yang inklusif, mampan dan berdaya tahan. Sejak 2015 sehingga Julai 2025, sebanyak RM880 juta pembiayaan telah disalurkan kepada lebih 61,000 usahawan, melibatkan 92,000 bilangan pembiayaan. Sebanyak 81% atau 75,000 bilangan pembiayaan ini telah disalurkan kepada usahawan dari golongan berpendapatan rendah (B40). Ini mengukuhkan lagi komitmen kita dalam memperkasa ekonomi rakyat dengan fokus kepada perluasan kelas menengah di negeri Selangor.
Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, Hijrah Selangor teguh berjuang menyantuni usahawan dalam mengecapi kebebasan kewangan melalui pengukuhan ekonomi. Dengan semangat kebersamaan, kita percaya kekuatan ekonomi rakyat akan lebih kukuh apabila usahawan, keluarga, komuniti dan negeri melangkah seiring menuju masa depan yang lebih sejahtera.
Tahun 2025 adalah era pecutan bagi Hijrah Selangor. Alhamdulillah, kita telah menyaksikan pelaksanaan awal sistem pengurusan pembiayaan digital atau Digital Loan Management System (DLMS) yang telah mentransformasikan pengalaman pelanggan; daripada peringkat permohonan sehinggalah ke proses kelulusan. Kini, segalanya lebih pantas, lebih telus dan lebih mesra pelanggan!
DLMS bukan sekadar sistem baharu, tetapi simbol komitmen Hijrah Selangor terhadap pendigitalan operasi secara menyeluruh, selaras dengan agenda Negeri Pintar melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Pelaksanaan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan ketelusan operasi, malah meletakkan Hijrah Selangor di landasan yang setanding dengan institusi kewangan digital terkemuka di Malaysia. Inisiatif ini memperkukuh daya saing organisasi, memastikan kita kekal relevan, inovatif, sekaligus menjadi peneraju dalam ekosistem pembiayaan mikro digital.
Namun, ingin saya tegaskan bahawa transformasi teknologi hanyalah sebahagian daripada perjalanan kita. Yang lebih penting adalah transformasi minda dan budaya kerja dalam organisasi ini. Kejayaan sebenar hanya dapat dicapai jika kita mengekalkan integriti, mengamalkan akauntabiliti, dan bekerja sepenuh hati. Kita sedar bahawa setiap ringgit adalah amanah yang wajib diuruskan dengan penuh tanggungjawab. Berbekalkan kejujuran dan integriti yang tinggi, insyaAllah segala usaha kerja kita akan membawa kepada keberkatan rezeki buat semua warga kerja dan para usahawan Hijrah Selangor.
Sebagai anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), kita terus menjunjung aspirasi Kerajaan Negeri melalui RS-1, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi rakyat dalam sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, pelancongan, agriteknologi dan industri halal. Hijrah Selangor adalah pemacu ekonomi rakyat yang memperkukuh struktur masyarakat MADANI yang progresif, stabil dan makmur. Kita akan terus memainkan peranan penting dalam membina keyakinan dan daya tahan komuniti, terutamanya usahawan wanita, belia dan golongan rentan.
Saya menyeru semua warga kerja Hijrah Selangor agar terus kekal fokus, tangkas dan proaktif dalam memperkasa usahawan bagi mendepani cabaran ekonomi masa kini. Jadikan tahun ini sebagai inspirasi untuk kita melakar kejayaan lebih besar, dengan lebih berani, lebih inklusif dan lebih strategik. Saya percaya dengan tumpuan kepada transformasi digital, tadbir urus pintar dan strategi inklusif, Hijrah Selangor bersedia mengemudi Selangor ke hadapan sebagai negeri keusahawanan bertaraf global.
Bersama Komuniti, Menyulam Impian
Memperkasa Ekonomi MADANI Selangor
DATO’ MEARIA HAMZAH