
SHAH ALAM, 21 MEI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) membelanjakan sejumlah RM326 juta bagi membantu belia mengembangkan perniagaan sejak 2015 hingga Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata jumlah yang disalurkan kepada 34,413 usahawan terbabit meliputi pembiayaan dalam bimbingan perniagaan.
“Secara keseluruhan Hijrah Selangor telah menyalurkan 92,000 pembiayaan kepada lebih 61,000 usahawan. Bagi usahawan belia sahaja 34,413 pembiayaan telah disalurkan di Selangor.
“Ini adalah inisiatif dalam memberi sokongan kepada usahawan belia sekali gus seiring dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Selangorkini.
Baru-baru ini, lima usahawan belia yang berjaya mengembangkan perniagaan daripada mikro ke Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima sijil penghargaan dan set cenderahati khas sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Selangor.
Antara perniagaan diusahakan mereka ialah peruncitan, pakej perkahwinan, akuakultur ikan air tawar dan tempahan katering.
Untuk rekod, Hijrah Selangor menawarkan dua skim pembiayaan untuk usahawan iaitu Skim i-Bisnes menawarkan pembiayaan hingga RM50,000 untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan mikro, kecil dan sederhana.
Selain itu, Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) pula menyediakan modal sehingga RM50,000 khas untuk kumpulan usahawan wanita mengembangkan perniagaan.
Skim NaDI tersedia khusus di empat pusat perniagaan Hijrah Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor. - Selangorkini